Saturday 26 June 2010

Cerita 1: Antara PhD dan hubungan dengan Allah

Sekadar gambar hiasan.


Cerita ini ialah cerita benar yang saya sendiri dengar dari seorang yang telah pun mempunyai PhD. Identiti beliau, tidaklah perlu didedahkan.

Menurut beliau yang membuat PhD satu ketika dahulu, setelah 3 tahun bertungkus lumus dengan PhD akhirnya beliau telah siap dengan satu program yang panjang berjela. Kerja-kerja program ini bagi orang-orang yang biasanya dengannya adalah satu kerja rumit, leceh dan perlukan penelitian agar tidak berlaku kesalahan walaupun satu huruf dalam prgram tersebut. Ini kerana sedikit kesalahan pasti menjadikan program itu tidak berguna. Apa yang terjadi ialah program yang beliau buat yang sepatutnya telah cantik, tidak menghasilkan sesuatu yang diharapkan. Beliau pun berusaha mencari dimana salahnya. Yang pasti program yang panjang ini cukup sukar sekali dicari sedikit kesalahan yang menjadikan keputusannya tidak berjaya. Hampir sahaja beliau putus asa dan berkata, "habislah PhD aku" setelah sekian lama mencari dan masih juga tidak menemui silapnya. Apa nak jadi ni. Buntu fikiran beliau.

Setelah kecewa, beliau pun mengambil keputusan untuk berehat dari memikirkan program yang beliau sangka sudah gagal. Semasa tempoh rehat beliau sentiasa beriktikaf di Masjid memohon Allah berikan petunjuk.

Selepas tamat seminggu berehat dari memikirkan PhD dan terus berdoa kepada Allah, akhirnya beliau balik ke pejabat. Lalu duduk sekejap sahaja dihadapan program yang panjang dan terus terjumpa kesalahan kecil pada programnya yang menjadikan program itu tidak berjaya. Dengan terjumpanya kesalahan itu, maka berakhirlah pencarian beliau yang gagal setelah sekian lama. Itulah kuasa Allah. Mudah sahaja bagi Allah untuk memberikan ilham kepada kita dalam setiap urusan kita. Allah itu Maha Mengetahui. Alhamdulillah, akhirnya beliau berjaya menamatkan PhD beliau dengan jayanya.

Pengajarannya, Allah itu Maha Kaya, Maha Mengetahui, Maha Pemurah dan sebagainya. Bergantunglah hanya kepada Allah. Kuatkan hubungan dengan Allah. InsyaAllah, akan dimudahkan urusan kita seharian. Jadikan dunia ini sebagai landasan untuk kita dekat dengan Allah, bukan mengambil dunia (pulun kejaq dunia - pulun sangat dengan PhD) hingga kita makin jauh dari Allah. Boleh jadi kita boleh berjaya didunia dengan kita melupakan Allah, tetapi adakah kita berjaya di akhirat yang lebih abadi.
Cerita ini adalah pengajaran buat diri saya sendiri agar terus ingat dan merapatkan diri kepada Allah. Dunia ini hanyalah sementara.

No comments:

Post a Comment