Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbh,
Segala puji bagi Allah dan Selawat serta salam buat Rasul
junjungan, kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Alhamdulillah kami
selamat tiba di Heathrow pada pukul 7 pagi semalam (7 November 2012 bersamaan
22 Zulhijjah 1433H) setelah hampir 18 hari menjadi tetamu di Bumi
Haramain. Jazakumullahukhairan Kathira
buat sahabat kami di London (Tazli dan Shira serta adik2) yang bersusah payah
menjemput kami & menyediakan nasi lemak istimewa buat rombongan Mak Haji
& Pak Haji yang memang kelaparan setelah bermusafir hampir 24 jam lamanya
meninggalkan Kota Madinah. Terasa begitu pantas masa berlalu, tanggal 18
Oktober mereka mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ buat kami di Heathrow dan
Alhamdulillah semalam diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu kembali.
Saya amat lemah bila menulis, tetapi Alhamdulillah...ramai yang
tersentuh dengan tulisan ‘Goodbye Our Little Darling’ .. saya rasakan ia adalah
satu titik permulaan untuk saya meneruskan penulisan untuk membawa kita merenung
kembali cinta dan kehebatan Allah, InshaAllah.
Saya juga mendapat suntikan semangat untuk terus menulis daripada kenalan
di Tanah Suci, seorang Professor di bidang linguistic yang tidak janggal
memakai purdahnya ketika mengajar di bumi England. Alhamdulillah Allah berikan
kekuatan pada malam ini untuk saya
berkongsi episod pertama. Sebelum saya
teruskan catatan perjalanan paling indah ini, saya memohon perlindungan
daripada Allah SWT daripada sifat riak & segala sifat-sifat mazmumah. Saya hanya mampu berdoa kepada Allah agar
coretan pengalaman menjadi tetamuNya mampu memberi manfaat kepada pembaca
sekalian..membawa hati kita dekat kepada Allah SWT, sepertimana firman Allah di
dalam Alquran:
“ Dan apabila hamba-hambaKu
bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasnya Aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka
hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)
Perth 2005
Di sinilah titik permulaan saya dan suami menyimpan niat
untuk mengerjakan Haji setelah melihat kepulangan jemaah haji Australia. Kebetulan pada petang itu kami memandu 2 buah
kereta yang berasingan ke Perth International Airport untuk menjemput Brother
Salim dan keluarganya yang tiba dari Dubai.
Fakhizan amat bersemangat dan berkira-kira untuk menunaikan Haji dari
Australia pada tahun berikutnya. Namun
begitu saya merasakan ianya bukanlah satu tindakan yang sesuai kerana mak dan
ayah di Kedah masih belum berkesempatan menunaikan fardhu haji lagi. Kami pendamkan niat itu dan Alhamdulillah
pada tahun 2008 kedua orang tua di Kedah berjaya menjejak kaki di Tanah
Suci. Entah mengapa sejak pulang ke
Malaysia kami tidak pula pernah tergerak hati untuk menunaikan fardhu haji
sehinggalah Fakhizan mendapat peluang untuk menyambung pengajiannya di UK pada
tahun 2010. Suami saya berazam untuk ke
Tanah Suci dari UK… Alhamdulillah Allah makbulkan doa permintaannya.
Indahnya perancangan
Allah…
1) Tok patah tangan
Perkara pertama yang memerlukan perancangan rapi ialah
anak-anak. Alhamdulillah Amak (Emak
saya) menawarkan diri dan Ayah pun memberikan green light untuk Amak datang ke
UK buat kali kedua.. mengiringi Mak & Ayah di Kedah untuk sama-sama menjaga
cucu. Urusan passport dan tiket sudah
pun selesai, Mak begitu semangat menanyakan senarai barang yang kami
perlukan. Mak nak bawak daun palas dan
anyam ketupat di UK buat anak menantu dan cucu-cucunya bila saya menceritakan
kami dapat makan ketupat palas (ketupat segera Nona) di pagi EidulFitri. Namun
Allah mempunyai rancangan yang jauh lebih baik.. seminggu selepas raya Mak
terjatuh dan patah tangan.
Saya tidak dapat menahan sebak setiap kali berbual
dengan Mak.. Mak kata Mak sihat dan doakanlah Mak dapat datang UK. Mak begitu pasrah dan redha dengan ketentuan
Allah dan bersungguh-sungguh untuk membantu kami. MashaAllah.. Murninya hati seorang ibu, dalam
kesakitan masih mahu menabur bakti buat anak menantunya. Tidak mampu saya
meneruskan perbualan telefon.. airmata saya bergelinangan dan saya berjanji
kepada diri sendiri untuk tidak mahu membebankan Mak dengan keadaan tangan yang patah dan cuaca
yang sejuk di UK, ia akan menambahkan kesakitan buat Mak. Kami berbincang dengan adik-beradik dan
akhirnya membuat keputusan untuk menukarkan tiket Mak & Ayah. Kami berusaha meyakinkan mereka bahawa Amak
mampu menjaga Ammar (6 tahun), Aisyah (5 tahun) dan Adni (3 tahun) kerana Amak
dah kenal jiran tetangga kami di sini yang sudah ibarat keluarga sendiri.
Anak-anak tidak pernah berpisah daripada Ummi & Ayah. Ramai
yang bertanya bagaimana kami sanggup meninggalkan mereka di perantauan? Kami
yakinkan dalam diri bahawa Allah adalah sebaik-baik pemelihara. Walaupun Amak
terbang seorang diri dari Malaysia, namun Allah aturkan dia tidak keseorangan
di UK.
Alhamdulillah, setiap malam ada adik-adik undergrad yang menemani
sepanjang pemergian kami. Rakan-rakan postgrad juga menghulurkan bantuan..
urusan anak-anak Allah permudahkan segalanya… Ada doctor-doktor yang boleh
cucuk Ammar untuk Haemophilia Prophylaxis treatment, ada Aunty2 yang sudi
menjemput pulang dari sekolah dan sanggup meredah kesejukan musim dingin
membawa Ammar dan Aisyah ke swimming class.. (tak mampu untuk saya tulis segala
budi yang ditaburkan buat kami sekeluarga) Hanya Allah jua yang dapat membalas
jasa baik mereka semua. Sejak bulan Ramadhan, Fakhizan sudah mula menceritakan
kepada mereka tentang pemergian kami menuju Kaabah. Saya memang tak mampu untuk
membuka mulut kerana airmata jatuh bergelinangan bila anak-anak menangis.
Alhamdulillah akhirnya Allah berikan kekuatan
untuk saya menceritakan keadaan Tok & Tok Wan yang tak jadi datang UK. Saya cuba tukarkan berita sedih kepada berita
gembira mengenai kakak-kakak yang akan sleepover di rumah sepanjang 21 hari. Ammar & Adni menunjukkan ‘kesediaan’
mereka untuk ditinggalkan..hanya Aisyah yang masih menangis hiba setiap kali
kami membuka cerita Haji. Di sebalik
tragedi Tok Patah tangan, pasti ada 1001 hikmah tersembunyi di sisi Allah SWT.
2) Hajj Baby…
Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami untuk menambah zuriat
dan menjadikannya tetamu istimewa di alam rahim ketika berkunjung ke Baitullah.
Saya dan suami merancang untuk ke Tanah Suci sewaktu dalam tempoh trimester
kedua dengan harapan kandungan sudah agak stabil ketika itu. Namun Allah
mempunyai perancangan yang jauh lebih baik dari apa yang kami rancangkan. Tiga
minggu sebelum kami berangkat ke Tanah Suci, kandungan saya yang sepatutnya
berusia 13 minggu telah pergi menemui Al-Khaliq.
3) Nafis dan chicken pox
Fauzah menelefon saya dan menanyakan mengenai chicken pox
yang saya alami pada Disember 2011. Saya terkejut Fauzah menyatakan Nafis menunjukan symptom2 tersebut
setelah pulih daripada demam! Allahuakbar… hanya tinggal 10 hari lagi kami akan
berangkat. Fakhizan ‘menyedapkan hatinya’ menyatakan kemungkinan Dr. Fauzah
tersilap diagnose. Kami hanya mampu berdoa moga Allah sembuhkan Nafis dan
keluarkan kesemua chicken pox dalam badannya. Saya mengalami chicken pox yang
amat kritikal selama 2 minggu. Akhirnya Fauzah terpaksa terbang ke Germany
bersama Nadrah. Ianya bukan suatu yang mudah buat keadaan dirinya yang sedang
berbadan dua dan kelincahan Nadrah benar-benar menguji. Alhamdulillah Allah turunkan pertolongan di
Airport melalui ‘mat saleh’ yang sudi membantu ‘mengejar’ si kecil Nadrah yang
membuatkan diri ibunya hampir-hampir mahu berpatah balik setelah selesai
check-in. Allah permudahkan juga untuk
Emak Fauzah terbang ke Germany di saat-saat akhir untuk membantu menjaga
Nadrah. Alhamdulillah Nafis pulih
sepenuhnya dan bersemangat datang ke Nottingham untuk menghadiri Kursus Haji
pada hari Ahad. Setelah dia tiba dari
Loughboro, terpampang notis di depan sekolah menyatakan kursus dibatalkan dan
akhirnya dia mengulangkaji bersama-sama di rumah kami.
4) BMI Bankrupt…?
Kisah
terakhir yang mewarnai ‘pre-departure’ program kami menuju ke Baitullah ialah
mengenai penerbangan kami bersama BMI Airlines yang terpaksa dibatalkan.
Allahuakbar… tiada daya yang mampu mengatasi masalah ini selain daripada kuasa
Allah SWT. Kami hanya mampu berdoa agar Allah permudahkan perjalanan kami.
Kepada Allah sahaja kami bergantung… Alhamdulillah akhirnya kami mendapat panggilan
telefon daripada agen menyatakan kami akan terbang bersama Gulf Air.
Perjalanannya agak pelik di mata manusia, tetapi itulah yang terbaik di sisi
Allah. Penerbangan terus daripada London
Heathrow ke Jeddah ialah 6 jam tetapi rombongan kami terbang melepasi Jeddah
menuju ke Bahrain (7 jam) dan transit di sana selama 7 jam sebelum sampai
meneruskan perjalanan ke Jeddah selama 2 jam. Daripada 6 jam bertukar menjadi
16 jam kesemuanya… masha Allah, begitulah indahnya perancangan Allah. Allah
kurniakan kami kelebihan 10 jam berbanding perjalanan normal, lebih banyak doa
yang kami boleh mohon kepadaNya sebagaimana Hadis dari Riwayat Abu Hurairah, Nabi
SAW bersabda:
“Tiga permohonan yang diterima oleh Allah Ta’ala,
iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir, dan doa kedua ibubapa
terhadap anaknya.”
Kesemua kisah yang berlaku sebelum kami berangkat ke Tanah
Suci adalah tarbiyah daripada Allah..Setiap apa yang berlaku semuanya adalah
dengan izin Allah. Episod ini mengingatkan diri kami betapa kerdilnya diri kita
sebagai hamba Allah. Kita hanya mampu merancang tetapi Dia adalah sebaik-baik
Perancang sepertimana firman Allah SWT:
“ Dan Tuhanmu menciptakan apa
yang dirangcangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari
makhlukNya untuk sesuatu tugas atau kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah
berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan
Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutu denganNya”
(Al-Qasas:68)
Tiga, Empat dan Enam
Takdir Allah telah menemukan kami dengan Nafis dan Fauzah
sewaktu menghadiri kenduri kesyukuran dan solat hajat Ustaz Khalid dan Ayu di
Loughboro. Mereka baru tiba dari Malaysia ketika itu dan niat ke Tanah Suci
kami kongsi bersama. Alhamdulillah akhirnya Allah izinkan untuk kami bertiga
mendaftar diri di agensi Euro Africa yang menawarkan harga paling murah di UK setakat survey kami.
Kami mendaftar pada bulan April 2012 dengan bayaran GBP2475 seorang. Perancangan
bertiga hanya kami bertiga akan pergi kerana tiada orang yang dapat menjaga
Nadrah yang berusia 2 tahun. Akhirnya
Fauzah menyatakan keinginan untuk turut serta dan berusaha untuk menghantar
Nadrah ke Germany untuk dijaga oleh kakaknya di sana. Alhamdulillah kami begitu
gembira apabila akhirnya Allah permudahkan untuk kami berempat mengerjakan haji
bersama-sama.
Tiada kursus Haji yang
disediakan melainkan menuntut ilmu mengenai perjalan Haji bersama orang-orang
yang berpengalaman. Abg Q dan Kak Fidah
di London menjadi Tok Guru kami, begitu juga dengan Ustaz Saiful di Loughborough
yang memberi kami kursus 2 jam komprehensif sebelum berbuka puasa di bulan
Ramadhan. Kalau di Malaysia kursus Haji
perlu dihadiri 2 tahun sebelum berangkat, tetapi di UK hanya ada 2 kali kursus
dianjurkan oleh sekolah Islam di belakang rumah kami. Itupun kelas kedua
terpaksa dibatalkan. Kami hanya ‘berkursus’ melalui buku-buku dan juga ceramah
di Youtube. Allahuakbar… Hanya kepada Allah kami memohon petunjuk jalan kerana
terasa diri ini kekurangan ilmu dan jahil.
Tiga minggu sebelum berangkat saya menerima panggilan
telefon daripada Kak Ita (sahabat kami yang sedang menuntut di London). Kak Ita
dan suami ketika itu berada di Agency
untuk mendaftar haji dan ingin memohon bantuan kami untuk menjaga keempat-empat
orang anaknya kerana hajat di hati mereka untuk ke Baitullah. Saya hanya mampu
mendengar kisah kesulitan Kak Ita dan di akhir perbualan barulah saya
memberitahunya yang kami tidak dapat membantu kerana akan berangkat ke Tanah
Suci pada 18 Oktober. Akhirnya Kak Ita
dan Abang Khairul pulang ke rumah tanpa mendaftar.
Selang beberapa hari kemudian Kak Ita menelefon
Fakhizan dan memberitahu khabar gembira bahawa adiknya sanggup datang dari
Malaysia untuk menjaga anak-anak mereka. Alhamdulillah… khabar yang paling
gembira kami terima ialah Kak Ita diberitahu oleh agen bahawa ada empat orang
Malaysia yang akan turut serta.
Subhanallah.. kami tidak pernah merancang untuk pergi bersama.. tidak
pula terkeluar dari mulut menyatakan agensi mana yang kami pilih sewaktu berbual tempoh hari.
Begitu hebat perancangan Allah SWT, Dia
memilih untuk kami sama-sama menjadi tetamuNya. Begitulah hebatnya kuasa Allah,
betapa banyaknya agensi di UK ini…Dia satukan kami bersama Kak Ita dan Abang
Khairul di bawah agensi EuroAfrica. Bermula daripada bertiga, kemudian berempat
dan akhirnya berenam. Allahuakbar.
Inilah episode Pre-Depature program yang telah diaturkan
oleh Allah Ta’ala buat kami menuju ke Baitullah, yang ingin menyempurnakan
Rukun Islam yang kelima. Hati melonjak gembira bersama perasaan yang bercampur
baur dengan ketakutan yang melanda di jiwa. Kami hanyalah insan yang hina, namun
Allah sudi memilih kami untuk menjejakkan kaki di rumahNya yang paling agung di
usia yang muda. Baitullah telah pun disebut di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk
manusia(beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan
(dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada keterangan yang
nyata ( yang menunjukkan kemuliaanNya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim
dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji
dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan
sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu) maka sesungguhnya
Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. “
(Ali- Imran 96-97)
Read more...