Wednesday, 31 July 2013

YANG MANA SATU???


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbh,

Alhamdulillah... segala puji bagi Allah yang mengurniakan rahmat kasih sayangNya di fasa terakhir Ramadhan. Moga kita sama-sama melipatgandakan ibadah, menagih kasih sayangNya buat bekalan menuju alam akhirat yg kekal abadi..

Ramai sahabat yang bertanyakan pakej haji kami..Moga perkongsian kali ini membawa manfaat buat semua. Dalam kita merantau menuntut ilmu di benua Eropah ini atau sesiapa yang berkesempatan melanjutkan pengajian ke UK di masa akan datang, rebutlah peluang untuk menunaikan kewajipan Rukun Islam yang kelima.  Alhamdulillah Allah telah memakbulkan permintaan saya dan suami... kami memang berazam untuk menunaikan haji dari UK, bertambah semangat lagi setelah mendengar cerita daripada Abang Hisyam dan Kak Nini yang pergi ke Makkah sewaktu Abang Hisyam buat PhD.

Kenapa dari UK?


1. Kuota
       
Kalau di Malaysia, kita perlu mendaftar dan beratur lama dengan Tabung Haji.  Di UK, kuotanya banyak dan InshaAllah masih boleh diuruskan paling lewat 3 minggu sebelum berangkat (seperti kisah Kak Ita & Abg Khairul yang saya ceritakan sebelum ini)

2. Umur muda, tenaga masih kuat

Rata-rata yang sebaya dengan kami mendapat giliran haji  tatkala usia menjangkau lebih 60-an.  Masha Allah.. lama sangat nak tunggu.  Kesempatan yang Allah beri kepada kami untuk menjadi tetamuNya membuatkan kami semangat untuk menyeru sahabat-sahabat semua untuk rebut peluang pergi dari UK. Bukankah di antara soalan yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti ialah apakah yang kita lakukan di usia muda?  Subhanallah.. hakikat kembara haji adalah satu perjalanan yang memerlukan fizikal yang kuat. Very Physically demanding!  Ianya satu kembara yang bukan sahaja untuk menjiwai tarbiyah ruhiyah ke hadrat Allah SWT semata-mata... ianya melibatkan segala aspek tarbiyah.  InshaAllah dengan usia dan tenaga muda yang Allah kurniakan boleh dimanfaatkan. Di sana ramai jemaah yang memerlukan tenaga orang muda, tidak kira dari mana kita datang dan siapa dia.  Di sana juga kita lihat kehebatan Allah SWT... dikurniakan juga kudrat si bongkok tiga bertawaf mengelilingi Kaabah lebih laju daripada kita yang muda :)

Yang mana satu???


InshaAllah kalau kita dah ada niat, maka bermulalah episod pertama.. Agen mana yang nak ikut ni?
Kembara Haji kami ditakdirkan Allah dengan agen yang mendapat rating buruk di forum haji UK.
(kami tak tau sehinggalah diberitahu oleh Kak Ita dan pulang selesai Haji barulah berkesempatan membaca komentar jemaah sebelum ini)  Ingin saya berkongsi dengan semua, walau sehebat mana pun pakej yang kita pilih... bayar mahal atau murah... Agen itu hanya sebagai alat yang disediakan oleh Allah SWT untuk menerima diri kita yang hina ini datang sebagai tetamu di rumahNya.  Rasulullah SAW pernah menyatakan mengerjakan haji itu adalah jihad.  Tiada jihad tanpa pengorbanan.  Tiada carpet merah yang dibentangkan untuk menyambut kita.. tiada itinerary perjalanan yang sempurna dan lancar disediakan oleh agen. Tidak perlu kita merungut andaikata agen lewat & tak tepati waktu... layakkah kita komplen bila dijemput ke rumah yang begitu agung di muka bumi ini?  Jika terasa tak puas hati dengan servis agen, bayangkanlah kesusahan junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang jauh lebih perit.  Rasulullah SAW telah mengingatkan umat baginda bahawa ibadat Haji itu:

'Kusut masai dan berdebu'

Solat Istikharah...


Menjadi sunnah untuk kita istikharah sebelum mengorak langkah.. Bukan istikharah untuk mohon petunjuk Allah nak pergi Haji ataupun tak sebab bila Allah nak pilih kita sebagai tetamuNya.. ia adalah satu nikmat keemasan yang sebaiknya tidak dilengah-lengahkan. Istikharah untuk Allah bantu kita buat pilihan agen mana yang perlu kita ikut.. Hanya Allah SWT yang mengetahui sebaik-baik agen untuk membawa kita dan segalanya sudah diaturkan oleh Allah tatkala kita melangkah keluar dari rumah menuju Baitullah..

Apa yang penting?


Belajar dan terus belajar mengenai fardhu Haji. Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas setiap umat Islam menuntut ilmu. Kalau di Malaysia kursus Haji disediakan oleh Tabung Haji di seluruh pelusuk tanah air, di UK ni kita mesti mencari guru. Alhamdulillah walaupun tiada kursus intensif disediakan oleh agen.. Allah mudahkan kami mengutip butiran mutiara daripada mereka yang berpengalaman..Kami 'berkursus' 2 hari 1 malam ketika menziarahi Abang Q dan Kak Fidah di London dan juga 2 jam sebelum iftar bersama Ustaz Saiful di Loughborough ( kebetulan mereka berpengalaman mengerjakan Haji tahun sebelumnya). Begitu juga di Green Academy ( tetapi kami agak blurr sebab banyak istilah Urdu digunakan).  Fakhizan banyak membaca buku-buku Haji dan saya ternyata masih kabur walaupun banyak kali baca.  InshaAllah sahabat-sahabat jangan khuatir.. Mohonlah kepada Allah agar dipermudahkan perjalanan.  Proses menuntut ilmu Haji ini tiada noktahnya walaupun kita sudah sampai di Makkah.  Di sana kami manfaatkan waktu yang ada, mengutip mutiara ilmu di mana dan dengan sesiapa sahaja.  Sempat kami belajar mengenai Wukuf & Melontar sewaktu bertemu dengan Kak Yong (sepupu saya) ketika bertemu untuk makan tengahari di foodcourt, begitu juga dengan Ustaz Zulkarnain (pakej Rayhar) ketika menziarahi Adie (seorang lagi sepupu saya) di hotel beliau.  Begitu juga dengan Makcik Khairiah... subhanallah... indahnya ukhuwwah di Tanah Suci Makkah.. Makcik ini kami jumpa setiap kali solat fardhu di zon muslimat ( underground). Dia banyak berkongsi pengalaman menunaikan Haji sehingga berlinangan airmata kami menginsafi lemah dan hinanya diri kita.  Beliau nasihatkan kami untuk memanfaatkan sebaik-baiknya nikmat dijemput menjadi tetamu Allah. 

Mencari Sahabat yang Soleh...


Apabila kita bermusafir, kita digalakkan untuk bermusafir bersama-sama sahabat yang soleh.  Alhamdulillah kami pergi berenam dan di sana lebih banyak memudahkan pergerakan kita apabila ada sahabat yang mengiringi.   Andaikata tiada sahabat, kita terpaksa pergi seorang diri bersama suami.. yakinlah bahawa Allah adalah sebaik-baik pemelihara. Di sana akan Allah temukan kita dengan sahabat-sahabat yang soleh, walaupun berlainan latarbelakang dan warna kulit.. cakap pun macam ayam dan itik sebab kebanyakan 'makcik-makcik' dari UK ni tak boleh berbahasa Inggeris.  InshaAllah kita akan terasa indahnya ukhuwwah yang bersulamkan iman dan taqwa.  Untuk jemaah muslimat, ada ruang 'eksklusif'' untuk kaum wanita sahaja di underground ( GATE NO 2). Kami lebih selesa di situ kerana kurang sesak dan semuanya muslimat dan senang untuk dapatkan air zamzam. Alhamdulillah ada air-cond juga :). 


Pakej tambang murah UK...


Rumah kami jauh.. rata-rata jemaah Malaysia yang kami temui terkejut sebab kami perlu naik teksi ke Masjidil Haram setiap hari.  Tiada makanan disediakan.  Alhamdulillah di sana Allah mudahkan kami untuk makan segala juadah Malaysia yang kami rindui di Safa Tower. Sewaktu berbaris membeli roti canai, kami memberi salam kepada yang tua. Org Malaysia memandang kami agak pelik.  Mungkin kerana tiada cop "MALAYSIA'. Mereka bertanya dengan penuh mesra " Anak dari mana.. ikut pakej mana"? 
"Untungnya kamu..Allah nak bagi pahala lebih.. kami ni Allah uji dengan kesenangan.. turun bawah terus ke Masjid.. makanan pun dah tersedia 24jam." 

Kami alas perut dengan cereal drink di Apartment sebelum bergerak ke Masjidil Haram, breakfast dengan bekalan roti dan cereal bar setelah solat Subuh.  Alhamdulillah cukup untuk alas perut sehingga selesai waktu Dhuha dan bergerak ke Safa Tower untuk brunch (Alhamdulillah bukan sahaja dapat jimat duit tetapi apa yang penting dapat recharge tenaga dan jimat masa).  Walaupun harga makanan di foodcourt agak mahal, ianya amat selesa untuk kami berehat seketika sebelum waktu Zohor. Pergi ke tandas dan ambil wuduk siap-siap (sebab toilet di Masjidil Haram agak jauh.)  Kami keluar dari Masjidil Haram setelah selesai Isya' dan singgah untuk dinner samada di warung bakso Indonesia atau di kedai Pakistan berhampiran hotel.
Read more...

Wednesday, 8 May 2013

Coretan Perantau PASCA PRU13


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulilah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam,
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
  1.  Pertama sekali, saya ingin mengajak diri sendiri dan semua yang membaca tulisan ini untuk bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Kerana susungguhnya hanya orang-orang yang bertaqwa yang akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
  2. Saya bersyukur kerana Allah memberikan peluang kepada saya untuk pulang ke tanah air bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan pengundi para pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) ini.
  3. Saya kira pilihanraya kali ini ialah yang terbaik pernah berlaku sepanjang saya celik akan politik tanah air. Terbaik tidak bermaksud sempurna dari segala bentuk ketidakadilan yang sememangnya manusia secara fitrahnya inginkan. Sebagai contoh mudah dan jelas ketidakadilan yang berlaku dalam sistem pilihanraya Malaysia ialah penguasaan media oleh Barisan Nasional (BN). Ketika sedang menunggu di sebuah kedai makan, saya sempat menonton berita di satu stesen TV. Dari awal sehinggalah ke akhirnya, BN menggunakan ruang berita di TV itu untuk berkempen tanpa memberikan sedikit pun ruang bagi Pakatan Rakyat (PR) menjawab segala persoalan dan tuduhan yang dicanang oleh pihak media berkenaan.  Saya kira ini merupakan satu ketidakadilan yang perlu dibaiki agar rakyat dapat menilai dengan adil dan memilih dengan bijak. Di negara maju seperti UK (tempat saya menetap buat masa ini), semua pihak diberikan ruang untuk berkempen di media TV semasa pilihanraya. Hinggakan, tidak perlu lagi untuk parti-parti yang bertanding membazirkan duit untuk poster-poster, kain rentang, bendera-bendera dan lain-lain yang akhirnya hanya menjadi sampah.  Alangkah, baiknya jika peruntukan untuk itu dapat disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan dengan cara yang paling bijak. Mungkin dengan itu, tiada lagi yang layak menerima BRIM selepas PRU. Dengan media yang adil rakyat dapat menilai dengan lebih baik kerana semua pihak boleh berhujah dengan matang dalam semua isu yang dibangkitkan. Politik sebeginilah yang amat saya idamkan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Saya doakan semoga Allah mengizinkan ianya berlaku di Malaysia.
  4. Kepada kerajaan BN yang telah diumumkan menang di peringkat persekutuan dalam PRU ke 13, saya mohon agar menjalankan amanah dengan adil, beramanah dan penuh integriti.  Kerajaan perlu bertindak menghentikan semua pihak yang cuba membangkitkan sentimen perkauman walaupun DAP memenangi bilangan kerusi yang besar. Hakikatnya,dikebanyakan kerusi ,jika DAP tidak menang,  maka MCA (BN) yang menang juga adalah dari bangsa Cina. Bahkan DAP mendapat majoriti yang besar hasil juga dari undi bangsa Melayu yang menolak politik sempit perkauman. Demikian juga, ada bangsa Cina dan India yang tidak lagi segan silu untuk menjulang bendera Parti Islam Semelaysia (PAS) bahkan bertanding atas tiket PAS. Ini menunjukkan tembok perkauman sudah mula terhakis yang merupakan satu petanda yang baik untuk masa depan negara yang kita cintai.
  5. Dakwaan sesetengan pihak yang menyatakan DAP adalah komunis perlu ditepis kerana tidak ada sebarang bukti yang sahih. Jika ada, saya percaya kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sepatutnya kerana negara kita menolak ideologi komunis ini. Saya bimbang jika dakwaan sedemikian dibiarkan berterusan akan menyebabkan kebenciaan antara kaum dan persengketaan berterusan. Sepatutnya, kita mesti hidup dengan berkasih saying, bertolak ansur dan bertimbang  rasa agar wujud keharmonian dalam negara kita. Di dalam Islam pun, kita tidak pernah diajar untuk bersengketa dengan kaum lain. Bagaimanakah dakwah Islam akan dapat disampaikan dan diterima oleh kaum lain jika ada sengketa kepada mereka? Kita umat Islam percaya bahawa dengan hanya bertaqwa kepada Allah dan beramal dengan ajaran Islam sahajalah kita akan mati dalam keadaan yang baik dan dapat memasuki syurga Allah. Sesungguhnya, hanya syaitan sahaja yang mahukan manusia mati dalam kekufuran yang tempatnya adalah neraka. Justeru, kita perlu berkasih sayang sesama manusia tidak kira bangsa agar kita menjadi pendakwah yang dapat menarik hati manusia ke arah hidayah Allah.
  6. Buat PR yang masih belum berjaya menguasai majoriti parlimen dan membentuk kerajaan, saya harap agar jangan mudah kecewa dan putus asa. Jadilah, pembangkang yang baik untuk mendesak kerajaan melakukan perubahan kearah Malaysia yang lebih gemilang. Sesungguhnya, perjuangan kearah yang lebih baik tidak akan pernah terhenti dan tidak akan pernah tewas. Sabarlah dan redhalah dengan segala ketentuan Allah. Saya kira ini merupakan siri latihan dari Allah untuk mendidik pemimpin-pemimpin , ahli-ahli serta penyokong-penyokong PR untuk bersabar. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar. 
  7.  Jika sekiranya ada bukti yang mencukupi tentang dakwaan penipuan dan salah laku mana-mana pihak dalam PRU yang lepas, saya harap tindakan yang amat bijak, berhati-hati dan penuh bijaksana diambil oleh semua pihak terlibat dalam usaha memastikan negara kita terus aman dan sentosa.  Saya berdoa kepada Allah agar terus mengurniakan kesejahteraan dan keamanan kepada negara kita dan rakyatnya akan terus hidup dengan mesra, berkasih-sayang dan bertolak ansur.
  8.  Akhir sekali, buat semua rakyat Malaysia, saya menyeru untuk kita bersatu sebagai rakyat Malaysia walaupun kita berbeza pandangan. Bilamana perlu,  berhujahlah dengan fakta dan bukti secara rasional tanpa emosional untuk mencari kebenaran, bukannya mencari gaduh. Jangan mudah percaya serta menyebar fitnah dan nista yang menyebabkan sengketa antara kita. Takutlah kepada Allah yang kepadaNya kita akan kembali. Semoga, kita dapat hidup dengan aman, harmoni dan sejahtera sehinggalah kita semua mati dalam keadaan yang baik dan di masukkan ke syurga Allah yang di dalamnya dijanjikan dengan kebahagiaan yang abadi.

9.       Wallahualam, sekian dari perantau.

Ikhlas dari,
Abu Ammar
Rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
Selasa, 7 May 2013, dalam perjalan kembali merantau

Read more...