Friday, 9 November 2012

Hajj Pre-departure Programme

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbh,

Segala puji bagi Allah dan Selawat serta salam buat Rasul junjungan, kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Alhamdulillah kami selamat tiba di Heathrow pada pukul 7 pagi semalam (7 November 2012 bersamaan 22 Zulhijjah 1433H) setelah hampir 18 hari menjadi tetamu di Bumi Haramain. Jazakumullahukhairan Kathira buat sahabat kami di London (Tazli dan Shira serta adik2) yang bersusah payah menjemput kami & menyediakan nasi lemak istimewa buat rombongan Mak Haji & Pak Haji yang memang kelaparan setelah bermusafir hampir 24 jam lamanya meninggalkan Kota Madinah. Terasa begitu pantas masa berlalu, tanggal 18 Oktober mereka mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ buat kami di Heathrow dan Alhamdulillah semalam diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu kembali.

Saya amat lemah bila menulis, tetapi Alhamdulillah...ramai yang tersentuh dengan tulisan ‘Goodbye Our Little Darling’ .. saya rasakan ia adalah satu titik permulaan untuk saya meneruskan penulisan untuk membawa kita merenung kembali cinta dan kehebatan Allah, InshaAllah.  Saya juga mendapat suntikan semangat untuk terus menulis daripada kenalan di Tanah Suci, seorang Professor di bidang linguistic yang tidak janggal memakai purdahnya ketika mengajar di bumi England. Alhamdulillah Allah berikan kekuatan pada  malam ini untuk saya berkongsi episod pertama.  Sebelum saya teruskan catatan perjalanan paling indah ini, saya memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada sifat riak & segala sifat-sifat mazmumah.  Saya hanya mampu berdoa kepada Allah agar coretan pengalaman menjadi tetamuNya mampu memberi manfaat kepada pembaca sekalian..membawa hati kita dekat kepada Allah SWT, sepertimana firman Allah di dalam Alquran:

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)


Perth 2005

Di sinilah titik permulaan saya dan suami menyimpan niat untuk mengerjakan Haji setelah melihat kepulangan jemaah haji Australia.  Kebetulan pada petang itu kami memandu 2 buah kereta yang berasingan ke Perth International Airport untuk menjemput Brother Salim dan keluarganya yang tiba dari Dubai.  Fakhizan amat bersemangat dan berkira-kira untuk menunaikan Haji dari Australia pada tahun berikutnya.  Namun begitu saya merasakan ianya bukanlah satu tindakan yang sesuai kerana mak dan ayah di Kedah masih belum berkesempatan menunaikan fardhu haji lagi.  Kami pendamkan niat itu dan Alhamdulillah pada tahun 2008 kedua orang tua di Kedah berjaya menjejak kaki di Tanah Suci.  Entah mengapa sejak pulang ke Malaysia kami tidak pula pernah tergerak hati untuk menunaikan fardhu haji sehinggalah Fakhizan mendapat peluang untuk menyambung pengajiannya di UK pada tahun 2010.  Suami saya berazam untuk ke Tanah Suci dari UK… Alhamdulillah Allah makbulkan doa permintaannya.

Indahnya perancangan Allah…

1)  Tok patah tangan

Perkara pertama yang memerlukan perancangan rapi ialah anak-anak.  Alhamdulillah Amak (Emak saya) menawarkan diri dan Ayah pun memberikan green light untuk Amak datang ke UK buat kali kedua.. mengiringi Mak & Ayah di Kedah untuk sama-sama menjaga cucu.  Urusan passport dan tiket sudah pun selesai, Mak begitu semangat menanyakan senarai barang yang kami perlukan.  Mak nak bawak daun palas dan anyam ketupat di UK buat anak menantu dan cucu-cucunya bila saya menceritakan kami dapat makan ketupat palas (ketupat segera Nona) di pagi EidulFitri. Namun Allah mempunyai rancangan yang jauh lebih baik.. seminggu selepas raya Mak terjatuh dan patah tangan. 

Saya tidak dapat menahan sebak setiap kali berbual dengan Mak.. Mak kata Mak sihat dan doakanlah Mak dapat datang UK.  Mak begitu pasrah dan redha dengan ketentuan Allah dan bersungguh-sungguh untuk membantu kami.  MashaAllah.. Murninya hati seorang ibu, dalam kesakitan masih mahu menabur bakti buat anak menantunya. Tidak mampu saya meneruskan perbualan telefon.. airmata saya bergelinangan dan saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mahu membebankan Mak  dengan keadaan tangan yang patah dan cuaca yang sejuk di UK, ia akan menambahkan kesakitan buat Mak.  Kami berbincang dengan adik-beradik dan akhirnya membuat keputusan untuk menukarkan tiket Mak & Ayah.  Kami berusaha meyakinkan mereka bahawa Amak mampu menjaga Ammar (6 tahun), Aisyah (5 tahun) dan Adni (3 tahun) kerana Amak dah kenal jiran tetangga kami di sini yang sudah ibarat keluarga sendiri.

Anak-anak tidak pernah berpisah daripada Ummi & Ayah. Ramai yang bertanya bagaimana kami sanggup meninggalkan mereka di perantauan? Kami yakinkan dalam diri bahawa Allah adalah sebaik-baik pemelihara. Walaupun Amak terbang seorang diri dari Malaysia, namun Allah aturkan dia tidak keseorangan di UK. 

Alhamdulillah, setiap malam ada adik-adik undergrad yang menemani sepanjang pemergian kami. Rakan-rakan postgrad juga menghulurkan bantuan.. urusan anak-anak Allah permudahkan segalanya… Ada doctor-doktor yang boleh cucuk Ammar untuk Haemophilia Prophylaxis treatment, ada Aunty2 yang sudi menjemput pulang dari sekolah dan sanggup meredah kesejukan musim dingin membawa Ammar dan Aisyah ke swimming class.. (tak mampu untuk saya tulis segala budi yang ditaburkan buat kami sekeluarga) Hanya Allah jua yang dapat membalas jasa baik mereka semua. Sejak bulan Ramadhan, Fakhizan sudah mula menceritakan kepada mereka tentang pemergian kami menuju Kaabah. Saya memang tak mampu untuk membuka mulut kerana airmata jatuh bergelinangan bila anak-anak menangis.  

Alhamdulillah akhirnya Allah berikan kekuatan untuk saya menceritakan keadaan Tok & Tok Wan yang tak jadi datang UK.  Saya cuba tukarkan berita sedih kepada berita gembira mengenai kakak-kakak yang akan sleepover di rumah sepanjang 21 hari.  Ammar & Adni menunjukkan ‘kesediaan’ mereka untuk ditinggalkan..hanya Aisyah yang masih menangis hiba setiap kali kami membuka cerita Haji.  Di sebalik tragedi Tok Patah tangan, pasti ada 1001 hikmah tersembunyi di sisi Allah SWT.

2)      Hajj Baby…
Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami untuk menambah zuriat dan menjadikannya tetamu istimewa di alam rahim ketika berkunjung ke Baitullah. Saya dan suami merancang untuk ke Tanah Suci sewaktu dalam tempoh trimester kedua dengan harapan kandungan sudah agak stabil ketika itu. Namun Allah mempunyai perancangan yang jauh lebih baik dari apa yang kami rancangkan. Tiga minggu sebelum kami berangkat ke Tanah Suci, kandungan saya yang sepatutnya berusia 13 minggu telah pergi menemui Al-Khaliq.

3)      Nafis dan chicken pox

Fauzah menelefon saya dan menanyakan mengenai chicken pox yang saya alami pada Disember 2011. Saya terkejut Fauzah  menyatakan Nafis menunjukan symptom2 tersebut setelah pulih daripada demam! Allahuakbar… hanya tinggal 10 hari lagi kami akan berangkat. Fakhizan ‘menyedapkan hatinya’ menyatakan kemungkinan Dr. Fauzah tersilap diagnose. Kami hanya mampu berdoa moga Allah sembuhkan Nafis dan keluarkan kesemua chicken pox dalam badannya. Saya mengalami chicken pox yang amat kritikal selama 2 minggu. Akhirnya Fauzah terpaksa terbang ke Germany bersama Nadrah. Ianya bukan suatu yang mudah buat keadaan dirinya yang sedang berbadan dua dan kelincahan Nadrah benar-benar menguji.  Alhamdulillah Allah turunkan pertolongan di Airport melalui ‘mat saleh’ yang sudi membantu ‘mengejar’ si kecil Nadrah yang membuatkan diri ibunya hampir-hampir mahu berpatah balik setelah selesai check-in.  Allah permudahkan juga untuk Emak Fauzah terbang ke Germany di saat-saat akhir untuk membantu menjaga Nadrah.  Alhamdulillah Nafis pulih sepenuhnya dan bersemangat datang ke Nottingham untuk menghadiri Kursus Haji pada hari Ahad.  Setelah dia tiba dari Loughboro, terpampang notis di depan sekolah menyatakan kursus dibatalkan dan akhirnya dia mengulangkaji bersama-sama di rumah kami.

4)      BMI Bankrupt…?

Kisah terakhir yang mewarnai ‘pre-departure’ program kami menuju ke Baitullah ialah mengenai penerbangan kami bersama BMI Airlines yang terpaksa dibatalkan. Allahuakbar… tiada daya yang mampu mengatasi masalah ini selain daripada kuasa Allah SWT. Kami hanya mampu berdoa agar Allah permudahkan perjalanan kami. Kepada Allah sahaja kami bergantung… Alhamdulillah akhirnya kami mendapat panggilan telefon daripada agen menyatakan kami akan terbang bersama Gulf Air. Perjalanannya agak pelik di mata manusia, tetapi itulah yang terbaik di sisi Allah.  Penerbangan terus daripada London Heathrow ke Jeddah ialah 6 jam tetapi rombongan kami terbang melepasi Jeddah menuju ke Bahrain (7 jam) dan transit di sana selama 7 jam sebelum sampai meneruskan perjalanan ke Jeddah selama 2 jam. Daripada 6 jam bertukar menjadi 16 jam kesemuanya… masha Allah, begitulah indahnya perancangan Allah. Allah kurniakan kami kelebihan 10 jam berbanding perjalanan normal, lebih banyak doa yang kami boleh mohon kepadaNya sebagaimana Hadis dari Riwayat Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

“Tiga permohonan yang diterima oleh Allah Ta’ala, iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir, dan doa kedua ibubapa terhadap anaknya.”

Kesemua kisah yang berlaku sebelum kami berangkat ke Tanah Suci adalah tarbiyah daripada Allah..Setiap apa yang berlaku semuanya adalah dengan izin Allah. Episod ini mengingatkan diri kami betapa kerdilnya diri kita sebagai hamba Allah. Kita hanya mampu merancang tetapi Dia adalah sebaik-baik Perancang sepertimana firman Allah SWT:

“ Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirangcangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutu denganNya” (Al-Qasas:68)

Tiga, Empat dan Enam

Takdir Allah telah menemukan kami dengan Nafis dan Fauzah sewaktu menghadiri kenduri kesyukuran dan solat hajat Ustaz Khalid dan Ayu di Loughboro. Mereka baru tiba dari Malaysia ketika itu dan niat ke Tanah Suci kami kongsi bersama. Alhamdulillah akhirnya Allah izinkan untuk kami bertiga mendaftar diri di agensi Euro Africa yang menawarkan harga paling murah di UK setakat survey kami. Kami mendaftar pada bulan April 2012  dengan bayaran GBP2475 seorang. Perancangan bertiga hanya kami bertiga akan pergi kerana tiada orang yang dapat menjaga Nadrah yang berusia 2 tahun.  Akhirnya Fauzah menyatakan keinginan untuk turut serta dan berusaha untuk menghantar Nadrah ke Germany untuk dijaga oleh kakaknya di sana. Alhamdulillah kami begitu gembira apabila akhirnya Allah permudahkan untuk kami berempat mengerjakan haji bersama-sama.

Tiada kursus Haji yang disediakan melainkan menuntut ilmu mengenai perjalan Haji bersama orang-orang yang berpengalaman.  Abg Q dan Kak Fidah di London menjadi Tok Guru kami, begitu juga dengan Ustaz Saiful di Loughborough yang memberi kami kursus 2 jam komprehensif sebelum berbuka puasa di bulan Ramadhan.  Kalau di Malaysia kursus Haji perlu dihadiri 2 tahun sebelum berangkat, tetapi di UK hanya ada 2 kali kursus dianjurkan oleh sekolah Islam di belakang rumah kami. Itupun kelas kedua terpaksa dibatalkan. Kami hanya ‘berkursus’ melalui buku-buku dan juga ceramah di Youtube. Allahuakbar… Hanya kepada Allah kami memohon petunjuk jalan kerana terasa diri ini kekurangan ilmu dan jahil. 

Tiga minggu sebelum berangkat saya menerima panggilan telefon daripada Kak Ita (sahabat kami yang sedang menuntut di London). Kak Ita dan suami ketika itu berada di  Agency untuk mendaftar haji dan ingin memohon bantuan kami untuk menjaga keempat-empat orang anaknya kerana hajat di hati mereka untuk ke Baitullah. Saya hanya mampu mendengar kisah kesulitan Kak Ita dan di akhir perbualan barulah saya memberitahunya yang kami tidak dapat membantu kerana akan berangkat ke Tanah Suci pada 18 Oktober.  Akhirnya Kak Ita dan Abang Khairul pulang ke rumah tanpa mendaftar.  

Selang beberapa hari kemudian Kak Ita menelefon Fakhizan dan memberitahu khabar gembira bahawa adiknya sanggup datang dari Malaysia untuk menjaga anak-anak mereka. Alhamdulillah… khabar yang paling gembira kami terima ialah Kak Ita diberitahu oleh agen bahawa ada empat orang Malaysia yang akan turut serta.  Subhanallah.. kami tidak pernah merancang untuk pergi bersama.. tidak pula terkeluar dari mulut menyatakan agensi mana yang kami pilih sewaktu berbual tempoh hari.  

Begitu hebat perancangan Allah SWT, Dia memilih untuk kami sama-sama menjadi tetamuNya. Begitulah hebatnya kuasa Allah, betapa banyaknya agensi di UK ini…Dia satukan kami bersama Kak Ita dan Abang Khairul di bawah agensi EuroAfrica. Bermula daripada bertiga, kemudian berempat dan akhirnya berenam.  Allahuakbar.

Inilah episode Pre-Depature program yang telah diaturkan oleh Allah Ta’ala buat kami menuju ke Baitullah, yang ingin menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Hati melonjak gembira bersama perasaan yang bercampur baur dengan ketakutan yang melanda di jiwa. Kami hanyalah insan yang hina, namun Allah sudi memilih kami untuk menjejakkan kaki di rumahNya yang paling agung di usia yang muda. Baitullah telah pun disebut di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia(beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada keterangan yang nyata ( yang menunjukkan kemuliaanNya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan  Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. “ (Ali- Imran 96-97)









Read more...