Tuesday, 13 December 2011

Home Dinner atau School Dinner?





8 September 2010:: 'School Visit' pertama di Nursery School



Bismillahirrahmanirrahim

Setelah sekian lama tidak berkesempatan untuk menulis, kugagahkan diri jua untuk berkongsi tentang pengalaman kami di sini. Kembara menuntut ilmu, bukan sahaja buat si Ayah demi segulung PHD tetapi buat kami seisi keluarga. Terlalu banyak untuk dikongsi bersama, InshaAllah.

Alhamdulillah, rumah kami berdekatan dengan Nottingham Nursery School & Training Center.. satu-satunya sekolah Nursery yang tidak diletakkan di bawah pentadbiran sekolah rendah. Suasananya memang menyeronokkan, dengan kos yang menelan hampir £4 juta- prasarana yang pasti membuatkan kanak-kanak seronok untuk bersekolah. Penulisan mengenai sekolah ini, ingin saya berkongsi tentang wasiat Ibnu Sina dalam soal pendidikan anak-anak:

"Hendaklah anak yang belajar di sekolah itu mempunyai teman-teman yang ramai, baik adabnya, senonoh adat dan tertibnya, sebab anak-anak itu, satu dengan yang lain akan tiru-meniru, ambil mengambil dan bermesra-mesraan."

Alhamdulillah, Allah memelihara Ammar & Aisyah daripada gejala-gejala yang kurang sihat yang amat dikhuatiri oleh ibubapa apabila anak-anak bersekolah di Barat. Mungkin juga kerana suasana kasih-sayang yang diterapkan oleh guru-guru yang mendidik dengan penuh kesabaran dan amat menghormati anak kecil. Syukur kepada Allah SWT yang memberi peluang kepada anak-anak untuk membesar dalam suasana persekolahan yang menyeronokkan. Sistem persekolahan di UK adalah percuma.

Nursery School
3 tahun = 3 jam (900pagi-1200 tengahari)
4 tahun = tambahan 3 jam (1230tengahari-330petang)

Primary School (6 jam 30 minit, 900pagi-330petang)
4 tahun = Reception
5 tahun = Year 1

Selalunya jika kita makan tengahari, kita panggil lunch tetapi di sini istilahnya ialah "Dinner" yang bermaksud hidangan yang lengkap. Setelah anak-anak mencapai umur 4 tahun, mereka boleh bersekolah di kedua-dua sesi dan boleh memilih samada untuk makan di sekolah bersama rakan-rakan dan guru atau pulang ke rumah. Caj "School Dinner" untuk sehari ialah:

Nursery School: £3.05
Primary School: £1.60
Hidangan warna-warni yang sihat & berkhasiat

Sekolah di kawasan Radford ini amat mementingkan kualiti dan kebersihan makanan. Kelas Aisyah (Reception) tidak dibenarkan membawa bekal. Makanan yang disediakan di Nursery School semuanya berasaskan sayur-sayuran (Vegetarian) tetapi di Primary School agak membimbangkan kerana bercampur dengan daging. Sistem untuk kanak-kanak kelas R masih tidak membimbangkan kerana mereka akan memakai 'gelang' sewaktu memegang tray untuk diisi makanan oleh Dinner Lady. Pemilihan makanan dibuat bersama ibubapa sebelum kelas bermula. Tetapi semenjak Ammar berada di Year 1, mereka diberi kebebasan untuk memilih sendiri. Hanya sebulan Ammar & Aisyah mengambil School Dinner dan kami memutuskan untuk membawa mereka pulang seperti kebiasaan di Nursery School pada semester lepas. Waktu 'Home Dinner' ialah 11.45pagi dan perlu kembali ke sekolah pada pukul 1250tengahari.



Alhamdulillah, jarak antara rumah dan sekolah hanya 2 minit berjalan kaki membolehkan Ammar & Aisyah pulang setiap hari untuk "Home Dinner"

ibrah daripada perkongsian saya kali ini ialah

1. Kepentingan untuk makan berjemaah sesama ahli keluarga. Mentor saya di sekolah bercerita, walaupun anak-anaknya sudah berkeluarga,mereka mempunyai rutin untuk pulang ke rumah setiap Khamis untuk makan malam bersama-sama. Jika di Malaysia, balik kampung sekali-sekala :) Di meja makan dapatlah kita eratkan kasih-sayang dan mengamalkan sunnah bercakap ketika makan sepertimana oleh Muslim daripada Jabir r.a.; katanya

" Bahwasanya Nabi saw pernah menanyakan kepada isterinya lauk pauk. Maka baginda diberitahu : Tidak ada pada kami melainkan cuka semata. Maka baginda pun meminta cuka itu, serta mencampurkannya dengan makanan, seraya berujar: Sangat Sedap lauk-pauk cuka ini!Sangat Sedap lauk-pauk cuka ini!"


2. Berdasarkan pemerhatian kami, anak-anak mula terpengaruh untuk makan dengan tangan kiri setelah bersekolah. Ini disebabkan penggunaan 'fork & spoon' yang diajar di sekolah. Ammar & Aisyah pun mula meniru adab kurang sopan ini kerana memang di sekolah cikgu-cikgu turut makan snack dengan tangan kiri. Sebagai ibubapa kita perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang proper eating manner in Islam sebagaimana sunnah Rasulullah SAW untuk makan dengan tangan kanan, dan yang di hadapan dengannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku pernah berada di pangkuan Rasulullah sewaktu aku masih kecil, dan tanganku sentiasa meraba-raba dalam asahan makanan. Maka berkata Rasulullah SAW kepadaku:

"Wahai anak kecil! Baca Bismillah, makan dengan tangan kananmu, dan makan dengan apa yang ada di hadapanmu."


InshaAllah jumpa lagi di masa akan datang.. Wallahu'alam
Read more...